Friday, October 09, 2009

CEDERA DITETAK DENGAN PARANG DAN DIBELASAH BERTUBI-TUBI OLEH PENYOKONG BN : PETUGAS PAS HANYA MAMPU BERTAHAN KETIKA DISERANG



Lebih enam orang petugas Dewan Pemuda PAS (DPP) dipukul dan ada yang ditetak dangan parang oleh sekumpulan lelaki ketika sedang bertugas di beberapa tempat termasuk di Markas Induk Dewan Pemuda PAS (DPP) di Bagan Pinang. Bercakap pada sidang media tergempar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut siang tadi, Ketua DPP Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan berkata, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 1:30 pagi.

Sekumpulan 100 lelaki bermotosikal dikatakan memakai baju BN telah menyerbu dan menceroboh Markas Induk DPP dan menumbuk petugas yang berada di situ. Sewaktu kejadian lebih kurang 40 orang petugas berada di markas tersebut.

Selain ditumbuk, kesemua mangsa juga dihalau keluar meninggalkan markas itu. Turut difahamkan ramai lagi petugas PAS di pukul malah ada juga yang dikejar dengan parang hingga ke rumah. Ekoran itu DPP pusat akan membuat laporan polis pada jam 6:00 petang (8 Oktober) di Balai Polis Port Dickson.

"Sekarang ini kita sedang mengumpul semua maklumat berkaitan. Kita diberitahu banyak kes serupa berlaku di tempat lain juga. Kita kumpul semua dan buat satu laporan petang ini," ujar Nasaruddin lagi.

Nasarudin turut mempersoal sikap pihak keselamatan yang lambat bertindak sedangkan semalam insiden serupa telah berlaku dan telah dimaklumkan kepada pihak polis.

"Semalam sudah berlaku perkara ini. Kita dah maklum kepada pihak polis supaya ketatkan keselamatan, tapi malam tadi berlaku lagi. Yang ini kita sangat kecewa," katanya.

Seorang Exco DPP Pusat, Suhaizan Kayat yang maklum berkenaan kejadian tersebut berkata, penyokong UMNO-BN terbabit tidak berpuas hati kerana mandakwa kononnya pemuda PAS telah menjatuhkan bendera dan kain rentang parti mereka.

"Mereka tuduh kita jatuhkan bendera dan poster UMNO-BN. Mereka semua datang ke markas induk, terus tumbuk petugas kita bertubi-tubi. Bayangkan dari luar mereka tumbuk sampailah ke dalam markas," ujar Suhaizan yang juga Ketua Penerangan DPP Pusat.

Kejadian sama juga berlaku di beberapa lagi markas pemuda yang lain, namun semua bukti dan maklumat lengkap sedang dikumpulkan. Suhaizan juga kesal di atas kejadian itu menganggap penyokong UMNO-BN tersebut bertindak membelakangi undang-undang.

"Sepatutnya kalau ada bukti, buatlah laporan Polis, bukannya datang serang macam ni," katanya.

Ekoran kejadian tersebut juga, DPP telah mengarahkan semua pemuda di seluruh negara datang ke Bagan Pinang hari ini bagi membantu gerak kerja kempen di sini. Satu taklimat khas kepada pemuda yang hadir akan diadakan malam ini di markas induk mereka.

"Kita arahkan semua pemuda seluruh negara datang bantu kita di sini. Kita bukan nak buat kacau, tapi kita nak berkawal untuk keselamatan," ujar Suhaizan lagi.

Mereka juga yakin tindakan penyokong Umno tersebut sebagai terdesak dan cuba memerangkap pemuda PAS agar bertindak agresif bagi dijadikan modal kempen mereka.

"Kita yakin ini satu provokasi dan perangkap mereka. Modus operandi sama sebelum ini diguna oleh Abdul Azeez, tapi nampaknya tak berjaya. Jadi ini dia agenda mereka seterusnya," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, seorang saksi mendakwa melihat kumpulan samseng tersebut menggunakan senjata semasa melakukan serangan di beberapa tempat lain.

"Saya nampak mereka guna kayu, topi keledar, pedang dan senjata lain seperti besi semasa melakukan serangan," dakwa seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan.

Selain mengoyakkan poster dan kain rentang PAS, samseng terbabit juga dikatakan turut memecahkan cermin dan merosakkan kereta milik penyokong Pakatan Rakyat.



SUMBER : HarakahDaily.Net, 8 Oktober 2009.


No comments:

Related Posts with Thumbnails