Friday, July 31, 2009

MAJLIS MEMPERINGATI UMMUL MUKMININ SAYYIDATINA KHADIJAH AL-KUBRA




Di zaman mutakhirin ini manusia sibuk mengejar dunia, kerjaya serta kemewahan hidup sehingga mereka alpa terhadap keluarga masing-masing. Kemesraan serta keceriaan di dalam kehidupan berkeluarga yang berlandaskan Islam semakin dilupakan. Si ayah tak putus-putus dengan bermesyuarat, si ibu pula tak habis-habis mengejar kerjaya, maka anak-anak menjadi mangsa kesibukan ibu bapa.

Konsep umat zaman ini ialah ibu bapa bekerja siang dan malam untuk mencari kemewahan dunia sepanjang tahun yang kononnya untuk kebahagian kehidupan keluarga. Adakalanya mereka akan memperuntukkan masa hanya sekali dua sahaja dalam setahun bersama keluarga yang dipanggil 'family holiday', sedangkan dalam kehidupan seharian mereka tidak ber'mesra' dengan ahli keluarga.

Makan berasingan, tidak bertanya khabar anak-anak tentang agama mereka, pelajaran mereka, kawan-kawan mereka, pemasalahan mereka dan sebagainya. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, anak-anak akan dipersalahkan, akhirnya ibu bapa akan mencari jalan keluar dengan menyerahkan anak-anak kepada institusi-institusi 'pemulihan' termasuklah institusi-institusi agama seperti pondok, sekolah agama berasrama dan sebagainya. Pada waktu itu barulah mereka terasa bahawa agama sahajalah yang dapat 'memulihkan' anak-anak mereka.

Kenapa tidak mereka fikirkan begini sejak anak-anak mereka masih kecil lagi? Mengapa tidak mereka berikan pelajaran agama dan akhlak mulia kepada anak-anak sejak dari awal lagi?
Mengapa ibu bapa tidak perasan perubahan tingkah laku anak-anak mereka? Mengapa anak-anak bertambah liar dan jauh dari ibu bapa? Mengapa anak-anak lebih senang mengadu hal kepada kawan-kawan? Mengapa anak-anak tidak menganggap ibu bapa sebagai tempat mengadu pemasalahan mereka? Mengapa anak-anak banyak menyimpan rahsia dari ibu bapa mereka?

Jawapan bagi persoalan ini semuanya ada pada ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa tidak dapat menyediakan suasana kemesraan dan keceriaan di dalam keluarga. Adakalanya kemesraan dan keceriaan di dalam keluarga itu pula tidak berlandaskan Islam sebenar. Ada ibu bapa yang cuba melahirkan kemesraan dalam keluarga bukan berlandaskan agama seperti membawa anak-anak menonton wayang, 'window shopping', pergi ke kelab-kelab, menghadiri acara-acara percampuran antara lelaki dan perempuan yang tidak ada batasan seperti 'Hari Keluarga' pejabat atau syarikat, pergi ke resort-resort yang percampurannya tiada batasan seperti taman-taman tema dan sebagainya.

Kemesraan dan keceriaan dalam Islam ada landasannya. Di dalam keluarga itu sendiri ada batasan-batasan yang perlu dijaga. Tambahan pula jika ingin bercampur-gaul dengan masyarakat, kawan-kawan atau saudara-mara. Oleh sebab itulah pihak Yayasan Al-Jenderami (YAJ) dan Madrasah Islamiah Jenderam Hilir (MIJH) pada tahun ini menyambut Majlis Memperingati Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah Al-Kubra dengan tema 'Penceria Kemesraan Keluarga' untuk menunjukkan sebahagian daripada cara-cara untuk melahirkan kemesraan dan keceriaan keluarga bersama masyarakat sekeliling yang berlandaskan Islam. Semoga majlis ini akan memberi manfaat kepada semua.



Berikut butiran maklumat MAJLIS MEMPERINGATI UMMUL MUKMININ SAYYIDATINA KHADIJAH AL-KUBRA (sempena dengan kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak) :


TEMA : 'PENCERIA KEMESRAAN KELUARGA'

TARIKH : 31 Julai - 2 Ogos 2009

TEMPAT : Kompleks Yayasan Al-Jenderami, Lot 27719, Lorong Aman, Kampung Baru Jenderam Hilir, Dengkel, Selangor

PERASMI : Y.A.M. Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

ANJURAN : Yayasan Al-Jenderami (YAJ) dan Madrasah Islamiah Jenderam Hilir (MIJH)



ACARA :

1. Majlis Perasmian oleh Y.A.M. Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

2. Seminar 'Sayyidatina Khadijah : Penceria Kemesraan Keluarga'

Penceramah 1 : Ustazah Hajjah Zawiah binti Hassan
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kaunseling (KESUMA), JAKIM

Penceramah 2 : Ustaz Salehuddin bin Azraie
Guru Sekolah Tinggi Islam Yayasan Sofa

3. Huraian Manaqib Sayyidatina Khadijah al-Kubra
Oleh : Al-Mukarram asy-Syeikh Dato' Haji Ahmad Murtadza bin Syeikh Haji Ahmad
Mantan Mufti Negeri Sembilan

4. Bacaan Maulid Simthud Durar - al-Habsyi
Tausiyyah oleh : Al-Mukarram al-Habib Dato' Syed Umar bin Syed Abdul Kadir al-Aidrus

5. Kuliah Subuh

6. Bacaan Yasin dan Tahlil

7. Bacaan Maulid Azzab (muslimat) dan Ratib al-Haddad

8. Acara keluarga, remaja dan kanak-kanak



Maklumat lanjut sila hubungi : Tuan Haji Mad Khalid bin Abdullah (019 - 386 2096), Pejabat Yayasan Al-Jenderami (03 - 8768 0200), atau layari www.aljenderami.com.my.


SEMUA DIJEMPUT HADIR.


MATAHARI PETUNJUK


No comments:

Related Posts with Thumbnails