Thursday, June 04, 2009

CATATAN RINGKAS MAJLIS PERASMIAN MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KE-50






Alhamdulillah, baru saja pulang ke rumah dari Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-50. Walaupun rasa mengantuk dan letih, tetapi coretan tetap ingin dikongsi bersama. Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-50 berlangsung di Dewan Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak, bermula dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Y.B. Ustaz Haji Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS pada malam tadi. Muktamar ini akan bersambung pula pada keesokan hari (Khamis, 4 Jun 2009).



Apa yang menarik perhatian pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-50 ini ialah Deklamasi Sajak oleh Sasterawan Negara, Y.Bhg. Dato' A. Samad Said. Beliau mendeklamasikan sajak yang bertajuk 'Suara Dari Dinding Dewan', yang ditulis sendiri oleh beliau pada tahun 1996 ketika membantah penyingkiran Bahasa Melayu yang dimulakan oleh sang penguasa. Saya sempat bertemu dengan beliau sebelum acara bermula bagi mendapatkan sedikit maklumat yang berkaitan dengan sajak yang akan dibacakan untuk diberikan kepada Pengacara Majlis. Kebetulan saya sekadar membantu secara tidak rasmi bagi perjalanan Muktamar, terutama membantu Pengacara Majlis.



Rasa kagum, bangga dan syukur kepada Allah apabila seorang Sasterawan Negara sudi hadir dan duduk bersama dalam satu majlis bersama dengan para pemimpin dan pendokong jamaah yang bersungguh memperjuangkan Islam. Beliau pada malam tadi menggelarkan Pemimpin Pemuda sebagai 'ULPRO', dan menggelarkan dirinya pula sebagai 'SASPRO'. 'ULPRO' ialah 'Ulamak Profesional', manakala 'SASPRO' pula ialah 'Sasterawan Profesional'.



Bertambah rasa kagum dan syukur kepada Allah apabila Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Muda PAS iaitu Balendran a/l Balasubramaniam, dan Bendahari Kelab iaitu Siva a/l Vasu, diberi penghormatan untuk mengalungkan bunga malai kepada Y.B. Ustaz Haji Nasharudin Mat Isa dan Y.B. Haji Salahuddin Ayub sewaktu acara berlangsung. Bukan hanya disebabkan kalungan bunga yang membuatkan rasa kagum dan syukur, namun kehadiran mereka dan rombonganlah yang sudah cukup membuatkan rasa syukur di hati para pemuda dan pendokong yang ikhlas dan bersungguh-sungguh memperjuangkan Islam.



Ini kerana ia membuktikan bahawa PAS semakin diterima oleh masyarakat bukan Islam. Tuduhan oleh pihak lawan bahawa PAS dan ahlinya adalah ekstrem, kolot, pengganas, konservatif, dan bermacam-macam lagi tuduhan yang bertujuan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam, akhirnya terlerai dan terjawab sudah. Mereka kini tidak lagi terpengaruh dengan dakyah dan propaganda musuh. Malah kini terang-terang mereka menyokong parti dan jamaah yang memperjuangkan Islam, walaupun Islam bukan agama anutan mereka. Ini kerana mereka dapat menilai kebenaran dan keadilan yang dibawakan oleh PAS iaitu sistem politik dan pemerintahan berasaskan Islam. Kejayaan ini diharap dapat memberikan sumbangan kepada Islam dan usaha dakwah kepada masyarakat bukan Islam.



Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Ke-50 ini menyaksikan satu lagi sejarah, di mana ia merupakan perjalanan terakhir kepada Y.B. Haji Salahuddin Ayub di dalam Dewan Pemuda PAS Pusat setelah 6 tahun menerajuinya sebagai Ketua Pemuda, dan selama 24 tahun di dalam Dewan Pemuda PAS semenjak 1985. Jawatan beliau bakal disandang oleh timbalannya iaitu Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi. Pada Majlis Perasmian Muktamar malam tadi, beliau telah menyampaikan Ucap Utama terakhir selaku Ketua Pemuda dengan tajuk bertemakan 'MEMPERSADA PERJUANGAN'.



Antara petikan Ucap Utama beliau yang menarik perhatian dan mendapat laungan takbir 'Allahu Akbar' yang paling menggegarkan dewan ialah apabila beliau berkata :

"Pada saat kita berbangga dengan gandingan mantap golongan ulamak dan profesional dalam PAS, Dewan Pemuda PAS memperingatkan supaya jangan sekali-kali kita lupa kepada golongan aktivis parti yang merupakan paksi kekuatan perjuangan semenjak PAS ditubuhkan pada tahun 1951. Golongan ini merupakan orang-orang tua, pemuda-pemuda, dan muslimat yang tidak pernah meminta upah sama ada ganjaran atau jawatan dalam parti. Ramai di kalangan mereka ini yang hidup miskin dan berpendapatan sederhana, petani, nelayan, buruh dan orang-orang kampung yang cukup setia dengan perjuangan PAS. Mereka ini adalah golongan yang hanya mahu PAS menang, Islam menang. Itulah saja yang menjadi cita-cita mereka. Ada di kalangan mereka yang sanggup menjual tanah untuk membayar deposit calon PAS yang bertanding pilihan raya, walaupun dengan penuh sedar mereka yakin akan hilang wang pertaruhan itu. Ada di kalangan mereka petani miskin yang hanya ada beberapa petak sawah padi, belum pun masak padi yang mereka tanam, mereka telah membahagikan petak ini dengan berkata : "Kalau saya jual, hasilnya ialah untuk PAS." Para Muslimat PAS yang begitu setia memasak, membasuh pinggan mangkuk, membuat kuih-muih setiap kali diadakan program PAS, merayu undi setiap kali datangnya pilihan raya, begitu sabar dan berkorban mengizinkan suami-suami mereka berjuang di dalam PAS. Begitulah agungnya perjuangan mereka ini. Kesetiaan, keikhlasan, dan pengorbanan merekalah yang menjadikan PAS terus gagah di persada perjuangan hari ini. Mereka adalah 'unsung warrior' atau 'wira yang tidak didendang'."


Muktamar kali ini juga memberi cenderamata sebagai tanda penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Y.B. Haji Salahuddin Ayub dan beberapa orang exconya yang bakal melepaskan jawatan kerana telah melepasi tempoh (usia), sepanjang berkhidmat di dalam Dewan Pemuda PAS Pusat. Antaranya ialah :

1. Y.B. Mohamad Zaki Ibrahim (Bendahari DPPP)

2. Ustaz Ariffin Deraman

3. Ustaz Nor Azli Musa

4. Y.B. Haji Mohamed Taufek Abdul Ghani

5. Ustaz Salihin Mukhyi

6. Ustaz Zolkharnain Abidin

7. Azreen Abdul Majid

8. Ustaz Jamsari Marsom

9. Abdul Rahman Sadikin


MATAHARI PETUNJUK

No comments:

Related Posts with Thumbnails