Sunday, May 17, 2009

MENINGITIS : FAKTA & MAKLUMAT


Meningitis ialah radang pada bahagian meninges iaitu selaput otak dan saraf tunjang. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan virus atau juga bakteria.


Meningitis yang disebabkan oleh virus lazimnya kurang teruk dan boleh pulih tanpa rawatan yang spesifik. Meningitis yang disebabkan oleh bakteria pula adalah agak serius dan mungkin membawa kepada kerosakan otak, hilang pendengaran, kurang upaya pembelajaran dan membawa maut.


Meningitis merupakan satu keadaan kecemasan perubatan. Pada permulaan penyakit dikalangan kanak-kanak, mereka akan cuma mengadu demam dan sakit kepala. Anak berumur kurang pada setahun hanya menangis berlebihan, demam dan enggan minum. Semua tanda-tanda awal bagi anak berumur kurang daripada setahun, sama dengan tanda tanda penyakit lain seperti pneumonia, jangkitan telinga, bronkiolitis dan jangkitan air kencing.


Oleh itu, hanya apabila doktor berpendapat yang seseorang anak mengidap meningitis beliau akan meminta agar 'lumbar puncture' dilakukan. 'Lumbar puncture' adalah prosedur memeriksa cecair selaput otak, dengan memasukkan jarum halus ke dalam tulang belakang pesakit. Pemeriksaan ini hanya akan dilakukan apabila keadaan tidak membahayakan anak.


Doktor dapat membezakan dan menentukan sekiranya anak menghidap meningitis dan bukan penyakit lain setelah pemeriksaan cecair selaput otak dilakukan. Rawatan yang tepat dapat dimulakan menggunakan maklumat daripada ujian 'lumbar puncture'. Tanpa rawatan, meningitis boleh mengakibatkan kesan buruk seperti lumpuh, cacat, kerencatan akal, pekak dan bisu. Kini pelalian Hib boleh diberi kepada anak kurang daripada 4 tahun untuk mengelakkan meningitis jenis kuman Hib (Hib = Kuman Haemophilus influenzae B).


Penyebab penyakit meningitis ialah Enteroviruses, Kumpulan coxsackie A & B, Poliovirus, Mumps, Measles, Herps simplex, varicella, streptococcus piieumoniae, pneumokokus, neisseria meningitides atau meningokokus.

Meningitis bakteria yang paling merbahaya adalah disebabkan oleh neisseria meningitides atau meningokokus. Kedua-dua bakteria ini tersebar melalui udara atau sentuhan langsung dengan pembawa atau pengidapnya. Dari saluran penafasan, ia memasuki saluran darah, lalu menyebabkan septisemia (keracunan darah) yang teruk dan terus ke otak lalu rnenyebabkan meningitis. Keadaan yang bersesak-sesak memudahkan lagi penyebaran penyakit ini. Meningitis meningokokus ialah satu penyakit serius dan boleh menyebabkan kematian.


Sebelum ini, vaksin Bivalent Meningococcal yang mengandungi kumpulan meningokokus A dan C telah digunakan. Namun demikian sejak tahun 2000, wabak meningitis disebabkan oleh kumpulan meningococcus W135 telah merebak dengan meluasnya. Oleh itu, vaksin Quadrivalent Meningococcal yang mengandungi kumpulan meningokokus A, C, Y dan W135 telah disyorkan.

Vaksin ini haruslah diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mengembara ke tempat yang diketahui ada wabak meningitis. Pelalian Hib pula boleh mengelakkan jangkitan meningitis yang disebabkan oleh bakteria Haemophilus influenzae. Imunisasi meningococcus untuk jemaah haji boleh mencegah daripada meningitis disebabkan oleh bakteria Neisseria meniningitis.


TANDA-TANDA AWAL SERANGAN MENINGITIS :

1. Demam

2. Kurang selesa

3. Enggan minum

4. Sakit kepala

5. Menangis berterusan

6. Bunyi tangisan berubah (tangisan bernada tinggi / 'high pitch cry')


TANDA AKHIR SERANGAN MENINGITIS :

1. Muntah

2. Sawan

3. Menjauhkan diri daripada suluhan lampu atau cahaya terang

4. Lemah

5. Ruam seperti lebam-lebam

6. Tidak sedar

Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor pakar jika mendapati tanda-tanda seperti di atas pada anak.


Terdapat individu yang mempunyai bakteria ini dalam tekak mereka tetapi tidak menunjukkan gejala penyakit. Golongan ini di kenali sebagai pembawa bakteria (carrier). Mereka ini mungkin menjadi punca jangkitan kepada individu lain. Apabila seseorang itu dijangkiti bakteria Neisseria meningitides, ini menunjukkan bahawa bakteria telah merebak dan ia meningkatkan risiko jangkitan kepada orang yang berdekatan dengan pesakit (ibu-bapa, keluarga dan jika di kampus ialah rakan sebilik dan kawan-kawan rapat).


Bakteria Neisseria meningitides terbahagi kepada beberapa jenis atau serotype. Serotype yang sering menjangkiti manusia ialah dari serotype A, B, C, Y dan W135. Di seluruh dunia termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat, serotype yang sering menjangkiti manusia ialah dari serotype B dan C. Di Asia ialah serotype A dan C, manakala serotype W135 ialah jenis yang sering ditemui di kalangan jemaah haji. Serotype Y pula dikatakan semakin meningkat di Amerika Syarikat.


CARA JANGKITAN

Bakteria Neisseria meningitides boleh menjangkiti seseorang melalui titisan pernafaan iaitu bersin, batuk, berkongsi gelas, straw, rokok, bercium dan resusitasi mulut ke mulut (mouth to mouth resuscitation).


MEREKA YANG BERISIKO

Jangkitan mudah merebak di kalangan :

1. Mereka yang tinggal di tempat sesak seperti asrama, kem tentera dan jemaah haji. Risiko jangkitan lebih tinggi pada mereka yang paling rapat dengan pesakit.

2. Mereka yang mempunyai sistem daya pertahanan yang rendah.


GEJALA

Masa pengeraman bakteria dalam tubuh manusia ialah antara 2 hingga 10 hari. Kebanyakan pesakit menunjukkan gejala penyakit selepas terdedah dalam masa antara tiga hingga lima hari.

Tanda penyakit ialah :

1. Demam dengan suhu yang tinggi

2. Loya dan muntah

3. Sakit kepala

4. Kekejangan pada leher

5. Kekeliruan

6. Mengantuk

7. Ruam / bintat merah (petecheal rash) pada peringkat awal dan kemudian pendarahan bawah kulit. Gejala ini membezakan meningococcal meningitis dari meningitis yang lain. Walaubagaimanapun adakalanya penyakit silap didiagnosa oleh pakar perubatan kerana menyangka ia demam denggi kerana denggi lebih kerap berlaku di negara ini.


DIAGNOSA

Meningococcal meningitis boleh didiagnosa melalui :

1. Ujian mikroskopik

2. Ujian biokimia

3. Ujian kultur

ke atas cecair serebrospina yang diambil melalui lumbar puncture.


Lain-lain ujian yang dijalankan ialah ujian darah dan CT-scan.


RAWATAN

Pengawalan suhu badan, sawan dan yang paling utama ialah rawatan antibiotik yang diberi secara intravena.


PENCEGAHAN

Terdapat dua cara mencegah meningococcal meningitis :

1. Kemoprofilaksis. Rawatan ini khas untuk mereka yang rapat dengan pesakit. Ia bertujuan menghalang jangkitan terutama kepada mereka yang berisiko. Individu ini diberi antibiotik RIFAMPICIN (10mg/kg atau dos maksimum 600mg untuk ditelan sebanyak dua kali sehari selama dua hari) atau CIPROFLOXACIN (500 mg satu dos) atau OFLOXACIN (400mg untuk satu dos).

2. Imunisasi. Imunisasi merupakan kaedah pencegahan jangka panjang. Kesan diperolehi selepas dua minggu imunisasi diambil. Ia biasanya diberi kepada bakal-bakal haji. Terdapat tiga jenis vaksin iaitu :

- Vaksin quadivalent untuk serotype A, C, Y dan W135

- Vaksin bivalent untuk serotype A dan C

- Vaksin
conjugate untuk serotype C

Para jemaah haji diberi vaksin quadrivalent. Sehingga kini belum ada vaksin yang dihasilkan bagi serotype B.


KOMPLIKASI

1. Kecacatan otak

2. Hilang pendengaran

3. Kegagalan organ penting seperti buah pinggang dan hati

4. Kematian



MENINGITIS : SEORANG PELATIH PULAPOL JEMPOL MATI

PUTRAJAYA, 15 Mei 2009 (Bernama) - Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat satu kematian di kalangan pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jempol, Negeri Sembilan, di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban semalam akibat meningitis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata hasil bedah siasat didapati mangsa mengidap 'Acute Pericarditis' dan kementerian masih menyiasat punca sebenar kejadian ini.

"Buat masa ini, terdapat dua kes yang dirawat di wad isolasi, Hospital Jempol. Keadaan mereka adalah stabil. Sebanyak 29 orang pelatih berada di dalam pemerhatian," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Beliau berkata aktiviti pemantauan ke atas pelatih dan kakitangan di PULAPOL itu terus dijalankan oleh petugas kesihatan selama 24 jam dan sesiapa yang mempunyai gejala jangkitan akan dirujuk terus ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

Mohd. Ismail berkata sehingga kini, sebanyak 166 kontak kepada kes telah dikenal pasti dan telah diberi antibiotik profilaksis. Sehubungan itu, katanya langkah-langkah pencegahan dan kawalan telah dilaksanakan bagi memastikan penyakit ini tidak merebak.

Mengenai situasi semasa wabak disyaki meningitis di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, beliau berkata sebanyak 32 kes masih lagi dirawat di wad isolasi Hospital Melaka.

Beliau berkata daripada 42 kes yang dirawat semalam, 10 daripada mereka telah dibenarkan pulang dan tiada kes baru dimasukkan ke hospital.

Katanya penduduk dan pelajar sekolah di sekitar Akademi JPJ Melaka tidak perlu risau dengan risiko jangkitan penyakit ini kerana ia hanya menular kepada mereka yang hampir dengan pesakit melalui titisan hidung dan mulut seperti batuk dan bersin.

Katanya amalan kesihatan diri yang baik, mengelakkan kesesakan di tempat tinggal atau tempat tidur serta ventilasi yang baik, adalah cara pencegahan untuk mengelak jangkitan meningococcal meningitis.

(Sumber : BERNAMA, 15 Mei 2009)


MATAHARI PETUNJUK

1 comment:

armouris said...

lagi info tentang penyakit meningitis kat sini - Treating Meningitis

Related Posts with Thumbnails