Friday, May 22, 2009

LIMA SASTERAWAN NEGARA TOLAK PPSMI - SEDIA TEMPUR JIKA PEMERINTAH TIDAK TUNDUK DESAKAN BATAL PPSMI


Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi apabila kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolaknya. Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA.

Alasan-alasan itu antaranya :

1. Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna Bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland, India dan Bangladesh.

2. Kegagalan mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai 'pemusnah' Bahasa Melayu yang telah lama menjadi 'lingua franca'.

3. Penggunaan Bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan. Pertama, warganegara yang menguasai Bahasa Inggeris dan sains teknologi. Kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial, bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.


Sasterawan Negara ke-4, Datuk A. Samad Said


BUANG GELARAN RASMI 'SASTERAWAN NEGARA'

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh Sasterawan Negara yang hadir iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh yang membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu 'jika keadaan memerlukan'.

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) Sasterawan Negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata Datuk A. Samad Said.

Sementara Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh pula berkata :

"Kalau diperlukan, saya akan sampai ke sini juga, di tempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya. Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh Bahasa Perancis misalnya. Cuba sentuh Bahasa Inggeris, Bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?"

"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja yang berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."


Sasterawan Negara ke-6, Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh


SURAT KEPADA PERDANA MENTERI

Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan Datuk A. Samad Said sebelum ini yang lebih ke depan.

"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau surat khabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi. Saya pernah siapkan surat kepada (bekas Perdana Menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu. Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak Datuk A. Samad Said untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh berkata :

"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu silakan."

Tiga lagi Sasterawan Negara yang menentang dasar PPSMI iaitu Profesor Emeritus Dato' Haji Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain tidak hadir kerana masalah kesihatan.


Sasterawan Negara ke-2, Profesor Emeritus Dato' Haji Shahnon Ahmad


Sasterawan Negara ke-7, Datuk Noordin Hassan


Sasterawan Negara ke-8, Datuk Abdullah Hussain


AKAN TERUS LAWAN

Datuk A. Samad Said menambah, kesemua Sasterawan Negara 'akan terus berlawan' memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

"Kita tidak boleh harap semua Sasterawan Negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain. Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk A. Samad Said memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi 'perlawanan' yang lebih hebat 'jika tidak bersedia tunduk' pada desakan membatalkan PPSMI.

"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut. Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."

Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.



PERTIKAI MEJA BULAT

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.

Mengulas kenyataan menteri itu, Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian kerana tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.

"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan Bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa semua orang bersetuju. Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap Bahasa Kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah. Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.



KEJUTKAN DUNIA SASTERA

Awal Mac 2009 lalu, Datuk A. Samad Said mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, dan terbaru Dr. Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S. Othman Kelantan pada 2003. Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai Sasterawan Negara ke-10.

Empat Sasterawan Negara yang telah meninggal dunia iaitu Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Dato' Dr. Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Dr. Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan). Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Datuk Noordin Hassan yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.


Berikut kenyataan akhbar lima Sasterawan Negara : 'BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENYATU NEGARA'



Sumber : www.malaysiakini.com. (Malaysiakini, 5 Mei 2009)


MATAHARI PETUNJUK

1 comment:

paklang ca said...

PPSMI ni sebenarnya paling mendatangkan masalah kepada guru-guru sekolah rendah di kampung. yang bukan cikgu boleh la buat apa-apa andaian. pikir la cikgu yang nak mengajar....orang yang tak mengajar memang la senang. kan semua guru-guru lahir era tahun 1964 ke bawahnya semua aliran melayu. latihan maktab pun dalam bahasa melayu. jadi memang sukar nak mengajar dalam omputih. semua ni Kem. Pendidikan tak pernah pikir. JPN pun sama..PPD lagi la tuli. harap jer ada pegawai khas..semua makan gaji buta...pantau tapi keputusan pemantauan tah kemana. sebenarnya gagal, tapi kaki ampu dok kata berjaya. mangsanya anak murid.

Related Posts with Thumbnails