Monday, May 11, 2009

IR. NIZAR JAMALUDDIN DIISYTIHAR MENTERI BESAR PERAK YANG SAH OLEH MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR


MALAYSIAKINI :

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah setelah digugurkan jawatan tersebut awal Februari lalu. Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim berkata, seseorang Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN seperti kes Stephen Kalong Ningkan. Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut telah ditolak oleh mahkamah.

Mengulas kemenangannya, Menteri Besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.

Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu (sebagai Menteri Besar). Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilantik pada 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan Menteri Besar.

Dalam permohonannya, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah atas tiga alasan berikut :

1. Tidak terdapat pembubaran DUN Perak

2. Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai Menteri Besar Perak

3. Tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar Perak


"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli Majlis Mesyuarat Negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong."


"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan Menteri Besar Perak, saya masih Menteri Besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit yang menyokong permohonan itu.

Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden berhak memegang jawatannya sekarang.

Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan Menteri Besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai Menteri Besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas Menteri Besar di negeri itu.

(dikemaskini pada 4:45 petang)


MSTAR ONLINE :

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi sebentar tadi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan perkara itu selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan dan tiada sebarang usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Mahkamah juga menolak permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai MB Perak, tetapi boleh mengemukakan rayuan rasmi.


Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini. Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh Zambry akan dikaji semula dan bukannya tidak sah sehingga notis seterusnya kecuali sidang DUN pada 7 Mei lalu.

"Kita akan minta Datuk Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah. Mesyuarat Exco akan diadakan segera dan kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009", katanya.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari lalu berikutan krisis politik Perak. Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2:30 petang. Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008. Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan Rakyat memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan. Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali, manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.


PESANAN MURSYIDUL AM PAS, Y.A.B. TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ NIK MAT :

KOTA BHARU : Y.A.B. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan beberapa kenyataan dan nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia sebagaimana dimaklumkan melalui telefon oleh saudara Mat Ali semasa dihubungi sebentar tadi. Beliau bersama Tuan Guru semasa pengumuman kemenangan Nizar diumumkan.

Kata Tuan Guru :

"Setelah kita menang di Perak, kini Perak telah bertukar menjadi Emas buat Pakatan Rakyat. Kejahatan telah terbukti dan kebenaran telah menjelma. Saya menasihati agar yang beragama Islam untuk berpuasa sunat esok hari serta sembahyang Sunat Syukur 2 rakaat. Jangan terlalu gopoh dengan kemenangan ini."

Selain itu dimaklumkan, setelah Tuan Guru menerima berita itu, beliau telah solat sunat dan disusuli dengan sujud syukur.

(sumber : http://idhamlim.blogspot.com)


MATAHARI PETUNJUK

No comments:

Related Posts with Thumbnails