Friday, May 22, 2009

ADUN MANEK URAI KEMBALI KE RAHMATULLAH, RIBUAN IRINGI JENAZAH - KEHILANGAN BESAR BUAT KERAJAAN NEGERI & PAS


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manik Urai, Haji Ismail Yaacob (Pak Su Mail), 60, sebagai kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan PAS.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, Ismail yang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kira-kira jam 5:50 pagi tadi adalah antara wakil rakyat PAS yang paling lama berkhidmat di Kelantan. Sementara itu Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud berkata, Ismail menunjukkan prestasi yang sangat baik sebagai seorang wakil rakyat.

Petang tadi ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham Pak Su Mail di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja selepas solat Jumaat. Tuan Guru Nik Aziz mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Speaker DUN Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri. Selain itu turut hadir ialah wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian. Ramai yang melihat Tuan Guru Nik Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Pak Su Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.

Selain jenazah Pak Su Mail, terdapat satu lagi jenazah wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak. Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.

Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Pak Su Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2:05 petang.

Sumber : www.harakahdaily.net. (Jumaat, 22 Mei 2009, 5:15 petang)



ADUN PAS KELANTAN KE RAHMATULLAH

ADUN Manek Urai, Haji Ismail Yaacob meninggal dunia subuh hari ini di Hospital Kota Bharu, Kelantan, kerana sakit jantung setelah dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak akhir bulan lepas.

Allahyarham yang juga Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Krai, meninggalkan isteri Siti Zaharah Ibrahim dan 10 orang anak.

Ismail, 60, dilaporkan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II sejak 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kaki.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986. Kecuali pada 2004, Allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut, di bawah parlimen Kuala Krai yang kini diwakili Bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli.


Sewaktu beliau tidak bertanding, calon PAS, Mohd. Zamzuri Mat Lazim tewas tipis di tangan calon BN, Zulkepli Omar dengan 53 undi. Dalam Pilihanraya Umum lalu (2008), Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Manek Urai Lama dan disembahyangkan di sebuah masjid dengan diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kira-kira 2,000 orang menziarahi dan turut menyembahyangkan jenazah Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manek Urai Lama selepas solat Jumaat.

Ketika menziarahi jenazah tersebut, Speaker DUN Kelantan, Ustaz Mohd. Nusuruddin Daud berkata, beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan kerusi itu Isnin ini. Tambahnya, laporan itu dibuat awal minggu depan kerana hari ini dan esok merupakan cuti umum bagi Kelantan, sementara Ahad cuti hujung minggu di Kuala Lumpur.

SPR akan bermesyuarat Khamis depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN tersebut, lapor Bernama. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mesyuarat diadakan pada hari berkenaan jika surat pemakluman daripada DUN Kelantan diterima awal minggu depan.

"Mesyuarat dijangka bermula pada 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi ini, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berharap 'Umno tidak meletakkan calonnya' seperti pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini.

Sumber : www.malaysiakini.com. (Jumaat, 22 Mei 2009, dikemaskini 4:08 petang)


MATAHARI PETUNJUK

No comments:

Related Posts with Thumbnails