Saturday, April 18, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR : LEMBARAN HIDUP ULAMA' - WARISAN ILMUAN ISLAM


Kata-kata Penulis Buku : Muhammad Abdulloh Suradi

Para ahli ilmu baik yang terdahulu hingga saat ini telah menulis dan menyusun sejarah para ulama. Mereka menyusun karya-karya besar menyebutkan kemuliaan dan peninggalan-peninggalan mereka sebagai kenyataan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati seorang yang lebih tua, tidak menyayangi seorang yang lebih kecil dan tidak mengakui hak seorang alim.” (Riwayat Ahmad, disahihkan oleh Al-Albani)

Sesungguhnya kisah hidup para ulama penuh dengan haruman hikmah, teladan, ilmu dan manfaat. Apabila kita membaca sesuatu kisah hidup ulama itu, pastinya kita akan mendapat ketenangan hati dan semangat diri. Juga dapat melembutkan hati kita dan seterusnya dapat meneladani peribadi para ulama yang penuh dengan mutiara kemuliaan.

Buku ini mengajak pembaca untuk menyusuri kisah hidup para ulama dengan lebih mendalam lagi merangkumi kehidupan, peribadi, minat, ilmu, keluarga dan jasa-jasa dan sumbangan para ulama yang hebat. Agar mereka lebih mengenal keperibadian dan kehebatan-kehebatan para ulama dalam pelbagai bidang ilmu.

Tentu ramai lagi yang belum mengetahui bahawa para ulama itu bukan sahaja hebat dalam bidang ilmu yang mereka ceburi, tetapi ada di antara para ulama itu memiliki kelebihan yang luar biasa dalam bidang ilmu yang lainnya lagi. Pernahkah anda mendengar, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal pandai mengalunkan syair? Imam Malik tahu menyanyi?

Ini sebenarnya ialah kelebihan mereka masing-masing dalam bidang ilmu tersebut. Mereka telah cuba berusaha untuk menuntut dan mempelbagaikan ilmu mereka selain didorong oleh minat mereka sendiri. Ini ialah suatu kebanggaan yang patut kita kagumi.

Selain itu, Ibnu Firnas ialah orang pertama melakukan cubaan terbang di udara dalam sejarah. Ramai tidak mengetahui perkara ini sebenarnya. Kita lebih mengetahui mengenai Wright Bersaudara yang telah mencipta pesawat terbang berbanding ilmuwan Islam kita ini yang telah terlebih dahulu melakukan percubaan terbang di udara, seribu tahun sebelum Wright.

Seseorang ulama itu juga sanggup menghabiskan seluruh hidup dan masa mereka untuk perkara-perkara yang bermanfaat sahaja. Sehinggakan Imam Nawawi, lebih rela membujang untuk dapat menelaah dan mengkaji ilmu dengan lebih lagi.

Kemuncak kemuliaan seseorang itu dapat dilihat pada saat-saat akhir hayatnya. Seperti yang telah berlaku pada akhir hayat Imam Ahmad bin Hanbal, Badiuzzaman Said Nursi dan Syeikh Al-Albani. Jenazah mereka telah dihadiri dan ditangisi ramai orang yang mencecah ribuan jumlahnya. Perjuangan, kemuliaan dan kebenaran para ulama tersebut tampak pada hari kematian mereka.

Kita sepatutnya lebih bangga dan kagum dengan para ulama yang telah menyerahkan seluruh hidup mereka untuk Islam tercinta. Kita sepatutnya menjadikan mereka wira idaman yang kita minati dan sanjungi. Daripada kita menjadikan tokoh-tokoh Barat, artis-artis Barat dan sebagainya sebagai wira idaman.

Pemuda-pemudi kini lebih banyak menjadikan tokoh-tokoh Barat dan artis-artis Barat sebagai wira mereka. Sepatutnya mereka sedar yang wira-wira mereka itu tidak patut untuk dijadikan teladan dalam hidup. Kerana kehidupan mereka penuh dengan kegelapan. Mereka sanggup mengambil banyak tahu mengenai kehidupan, peribadi dan minat tokoh-tokoh yang penuh dengan kegelapan.

Kita sepatutnya lebih merasa bangga dengan wira kita sendiri seperti yang terutama sekali ialah Rasulullah s.a.w., para sahabat Nabi s.a.w. dan para ulama yang kehidupan mereka jauh lebih mulia lagi dan penuh dengan hikmah teladan.

Kehidupan para ulama sangat bermanfaat untuk dibaca dan dihayati dalam cabaran dan fatamorgana dunia kini. Hati kita akan bisa menjadi lembut dan akan dituruni rahmat apabila kita membaca dan menghayati kehidupan para ulama. Banyak akan kita dapati ilmu dan manfaat mereka. Dan kita akan temui diri kita sebenarnya kembali, menguatkan semangat kita dan seterusnya menyemarakkan semangat perjuangan kita untuk Islam.

Buku ini juga telah disajikan dengan gambar-gambar para ulama yang menarik supaya anda lebih menghayati kehidupan seseorang ulama itu. Apabila kita melihat wajah seseorang ulama, itu sebenarnya telah dikira sebagai ibadah.

Di harapkan, buku ini dapat lebih menyedarkan kita akan kehidupan para ulama yang penuh dengan kemuliaan dan manfaat yang jarang kita hayati, peribadi mereka yang jarang kita teladani, sifat dan minat mereka jarang kita ketahui, keluarga mereka yang jarang kita ambil tahu dan sumbangan mereka yang jarang kita hargai.

Muhammad Abdulloh Suradi @ M.A. Uswah
16 Februari 2009

Sandakan, Sabah
www.tamanulama.blogspot.com


Penulis : Muhammad Abdulloh Suradi
Muka Surat : 330
Terbitan : Hijjaz Records Publishing
Tarikh dipasarkan : April 2009
Harga Semenanjung : RM28.90
Harga Sabah / Sarawak : RM30.90


Sumber : http://lamanpenerbithrp.blogspot.com.


MATAHARI PETUNJUK

No comments:

Related Posts with Thumbnails