Saturday, April 04, 2009

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2009 KALI KE-28


Akhirnya pesta yang ditunggu-tunggu oleh para pencinta ilmu dan buku telah pun tiba iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009. Pesta buku yang dianjurkan pada setiap tahun oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia ini telah pun memasuki kali ke-28 penganjurannya.

Hampir setiap tahun mengunjunginya, dan hampir setiap tahun jugalah menyaksikan betapa ramainya manusia yang hadir sehingga kadang-kala bersesak-sesak terutama 2 hari terakhir. Tempatnya masih tidak berubah iaitu di PWTC setiap tahun dan sememangnya ia menjadi lokasi yang mudah dan strategik.

Di sinilah tempatnya di mana orang ramai terutamanya para pelajar dan tenaga pengajar dari seluruh negara mencari buku yang diperlukan sebagai sumber rujukan ilmiah. Begitu juga dengan para pencinta ilmu yang dahagakan ilmu dan maklumat. Lebih-lebih lagi hampir kesemua buku yang dicari dan diperlukan semuanya ada di sini sehingga 'rambang mata' melihat ribuan buku yang dipamerkan, ditambah pula dengan potongan harga yang menarik. Tidak ketinggalan ibu bapa membawa anak-anak mereka sebagai aktiviti sekeluarga di hujung minggu di samping menanamkan minat dan mendekatkan anak-anak kepada buku & ilmu.

Cuma di sini saya ingin mencadangkan kepada pihak penganjur supaya acara yang sangat bagus dan bermanfaat ini dianjurkan 2 atau 3 kali dalam setahun. Ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh masyarakat terutamanya yang tidak berkesempatan hadir pada penganjuran kali pertama dapat mengunjunginya pula pada penganjuran kali kedua.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada mereka yang belum puas mengunjunginya pada kali pertama untuk membelek, memilih, meneliti dan membeli bahan bacaan yang ingin dimiliki, memandangkan tempatnya yang luas, di samping penyertaan daripada puluhan syarikat buku yang menyertainya dengan ribuan buku yang dipamerkan, ditambah pula dengan 10 hari sahaja yang diperuntukkan untuk acara ini, pastinya tidak cukup dan memadai.

Alternatif yang lain, jika pihak penganjur lebih prihatin, dicadangkan supaya pesta buku ini dibuat di setiap zon di Malaysia iaitu di utara, timur, tengah, selatan, Sabah dan Sarawak. Tidak wajar rasanya acara sekali dalam setahun ini hanya dianjurkan di Kuala Lumpur sahaja. Bagaimana pula dengan rakyat terutamanya pelajar dari keluarga yang susah dan tidak berkemampuan yang rata-ratanya tinggal jauh di pedalaman? Tidakkah kita terfikir tentang kesusahan mereka? Apakah wajar budaya ilmu dan celik maklumat ini hanya untuk rakyat yang tinggal di sekitar Lembah Klang sahaja? Rakyat perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan, ditanam dengan budaya ilmu, membaca dan cintakan ilmu. Kita mahu melahirkan bangsa yang maju dan berilmu tinggi.

Apapun secara keseluruhannya, acara tahunan yang dinanti-nantikan ini tetap mendapat tempat dan dilangsungkan dengan jayanya. Setiap tahun sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan dan tidak putus-putus. Penyertaan daripada syarikat buku semakin bertambah. Aktiviti sampingan sempena acara ini juga semakin banyak dan menarik. Semoga pesta buku ini dapat diteruskan penganjurannya setiap tahun dengan peningkatan kepada yang lebih baik.

Berikut butiran maklumat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 Kali Ke-28 :

TARIKH : 17 - 26 April 2009

MASA : 10:00 pagi - 7:00 malam (Isnin - Khamis) & 10:00 pagi - 9:00 malam (Jumaat, Sabtu & Cuti Umum)

TEMPAT : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur


MASUK PERCUMA.


AKTIVITI :

1. Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009
(18 April 2009, 10:00 pagi, Ruang Legar / Lobi PWTC)

2. Pelancaran Buku 'Gaza Menangis' dan 'Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden'
(21 April 2009, 1:00 petang, Ruang Legar / Lobi PWTC)

3. Pelancaran Buku 'Sejarah Perkembangan Gerakan Islam'
(22 April 2009, 12:00 tengahari, Ruang Legar / Lobi PWTC)

4. Pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2009
(22 April 2009, 2:00 petang, Ruang Legar / Lobi PWTC)

5. Seminar Hak Cipta
(23 April 2009, 10:00 pagi, Bilik Seminar Johor / Kedah)

6. Konvensyen PEKOMIK
(25 April 2009, 10:00 pagi, Bilik Seminar Johor / Kedah)

7. Forum Malaysia Membaca oleh BukuOnline.org
(25 April 2009, 12:00 tengahari, Ruang Legar / Lobi PWTC)

8. Pelancaran Buku dan Filem Ketika Cinta Bertasbih - Habibur Rahman
(25 April 2009, 5:00 petang, Ruang Legar / Lobi PWTC)

9. Dialog Pinggir PENA - Faisal Tehrani & Habibur Rahman
(26 April 2009, 4:00 petang, Bilik Seminar Johor / Kedah)

10. Persidangan Ilustrator Kebangsaan 2009
(26 April 2009, 1:00 petang, Bilik Seminar Kuala Lumpur)


Maklumat lanjut : klbookfair.com.


MATAHARI PETUNJUK.

No comments:

Related Posts with Thumbnails