Saturday, April 04, 2009

EKSPO HERBA & PRODUK SEMULAJADI 2009 (NATPRO) DI PWTC


Rasanya saya pernah hadir dalam masa yang singkat ke Ekspo Herba & Produk Semulajadi / Ekspo Produk Semulajadi Asia Pasifik (NATPRO) di PWTC beberapa tahun yang lalu. Tidak sangka pula ekspo ini mampu bertahan menjadi acara tahunan dan tahun ini merupakan tahun ke-6 penganjurannya.

Saya berkata demikian kerana ia dianjurkan oleh syarikat swasta sepenuhnya iaitu EcoEvent Sdn. Bhd. dengan menerima sokongan daripada badan kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dan lain-lain. Seperkara lagi sewaktu dianjurkan pada tahun-tahun pertama dahulu, Malaysia dalam keadaan & suasana polisi yang menitikberatkan bidang bioteknologi. (di laman web syarikat ini iaitu di www.eco.com.my masih terpampang wajah Dato' Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohammad selaku Pedana Menteri pada waktu itu).

Jangan dibandingkan dengan pameran atau program yang dianjurkan oleh kerajaan seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), atau Pameran MAHA (Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism), kerana sememangnya hebat dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Jika ia (NATPRO) mampu bertahan untuk beberapa tahun yang akan datang, terus releven dan mendapat sambutan ahli perniagaan dan masyarakat, maka ia boleh dianggap hebat dalam keadaan suasana ekonomi semasa yang tidak menentu.

Ini tidak mustahil jika mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua walaupun dianjurkan oleh syarikat swasta, sepertimana Pikom PC Fair yang mendapat sambutan yang hangat sehingga dianjurkan 2-3 kali dalam setahun, tidak hanya di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Apa yang pasti sama ada mendapat sambutan hangat atau tidak, ia tetap memberikan input dan faedah yang baik kepada pengunjung terutama kepada para penyelidik, pelajar dan ahli perniagaan. Ini kerana terdapat perkara menarik yang boleh didapati di ekspo ini seperti pameran perdagangan, jualan produk, bengkel, demonstrasi masakan herba dan produk semulajadi, padanan perniagaan, pelancaran produk, dan forum.

Berikut butiran mengenai ekspo ini :

TARIKH : 10-12 April 2009

MASA : 10:00 pagi - 6:00 petang

TEMPAT : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur


Dibuka kepada pelawat dagangan dan orang ramai. Masuk percuma.

Maklumat lanjut : www.natpro.com.my.


MATAHARI PETUNJUK.

No comments:

Related Posts with Thumbnails