Monday, April 27, 2009

BIOGRAFI SYEIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU ABDULLAH AL-BANJARI AL-MAKKI (BAHAGIAN 1)


Berikutan beberapa siri Kuliah Pengajian Kitab oleh Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Abdullah al-Banjari al-Makki di Malaysia seperti yang dimaklumkan di dalam blog sebelum ini, berikut dipaparkan biografi beliau sepertimana yang tertera di blog al-Fanshuri - Kenali Ulama' Kita (Abu Zahrah), untuk mengenali tokoh ulama' ini dengan lebih dekat lagi :


Al-Fadhil Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin Abdullah Thayyib حفظه الله
dilahirkan pada tanggal 1 September 1960 di sebuah desa yang bernama Harus di Amuntai, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Beliau anak ketiga dari tujuh bersaudara dan lahir daripada sebuah keluarga yang taat beragama. Bonda beliau bernama Hajjah Rahmah binti Haji Muhammad Sobri (meninggal dunia pada 1984), adalah puteri kepada seorang tokoh ulama' besar di Kalimantan Selatan.

Beliau belajar membaca al-Quran daripada nenek, ibu saudara (Rokiah dan Zainab), dan kakak beliau (Ruminah). Manakala pendidikan formal beliau di sekolah rendah Kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di Pondok Pesantren Normal Islam, Rasyidiah Khalidiah. Pengajian beliau di sini tidak lama kerana seluruh keluarga beliau berhijrah ke Tanah Suci Mekah dan menetap di sana.

Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajian di Madrasah Shaulathiah al-Hindiyah sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian umum yang diadakan di Masjidil Haram dan juga di rumah para masyaikh.

Pada tahun 1982, beliau telah menamatkan pengajian dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di Madrasah Shaulathiah. Di samping belajar, beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajar kitab Qatrun Nada, Fathul Mu'in, 'Umdatus Salik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas 'Aliyah.

Beliau merupakan anak murid kesayangan gurunya iaitu Syeikh al-'Allamah Ismail Usman Zain al-Yamani رحمه الله . Gurunya inilah yang banyak mewarnai kehidupan Syeikh Muhammad Nuruddin, dan banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau, serta sering diajak untuk menemaninya ke Madinah bagi menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.

Syeikh Muhammad Nuruddin
mencurahkan segala usaha, tenaga dan dirinya untuk mendekati para masyaikh bagi berkhidmat dan membekalkan dirinya dengan ilmu daripada guru-gurunya. Beliau pernah berkata bahawa apa yang beliau nikmati hari ini adalah hasil daripada keberkatan doa para masyaikh yang beliau berikan khidmat kepada mereka.

Beliau amat gigih dalam belajar,
maka tidak hairanlah jika beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut sahaja ulama' yang berada di Mekah, pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak kenal dengan tokoh ulama' yang harum nama mereka disebut orang seperti Syeikh al-'Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syeikhul Ulama', Syeikh al-'Allamah Muhammad Yasin al-Fadani yang mendapat julukan Syeikhul Hadis wa Musnidud Dunya, Syeikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Tholibin), Syeikh Abdul Karim Banjar, Syeikh Suhaili al-Anfanani, Sayyid Muhammad 'Alwi al-Maliki, Syeikh Said al-Bakistani, dan ramai lagi. Bak kata pepatah Arab "cakap sahaja tanpa perlu khuatir".

Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanadnya sehingga kepada pengarang, justeru betapa hebat dan beruntungnya umur beliau serta segala yang diberikan oleh Allah, maka tidak salah jika dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.

Pada tahun 1983, Syeikh Muhammad Nuruddin telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah sehingga mendapat gelaran Sarjana Muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali Liddirasat al-Islamiah, Zamalik sehingga memperolehi Diploma Am 'Dirasat 'Ulya' pada tahun 1990. Perpindahannya ke Mesir ini kerana beliau dan beberapa orang lagi dihalang untuk mengajar pengajian di Masjidil Haram kerana tiada tauliah. Sekiranya berkeras juga, mereka akan di tangkap oleh pihak berkuasa Saudi. Maka pada ketika itulah gurunya menyarankan beliau supaya ke Mesir, untuk belajar dan mengajar.


Antara gurunya ketika belajar di Mekah ialah :


1. Syeikhul 'Ulama al-'Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad bin Abbas bin Ali bin 'Abd al-Wahid al-Masyath رحمه الله
(wafat pada hari Rabu, 7 Syawal 1399 Hijrah). Syeikh Muhammad Nuruddin mengambil daripada beliau secara wijadah dan munawalah dalam kebanyakan karangan beliau seperti Is'aaf ahl al-Iman, Is'aaf ahl al-Islam, Inarah ad-Duja fi Maghazi Khair al-Wara', Tuhfah al-Sunniyah fi Ilm al-Faraid', Nasaih Diniyyah wa Wasaya Hamah' dan lain-lain. Syeikh Muhammad Nuruddin juga sering menghadiri perhimpunan di dalam majlis-majlis yang diadakan di Ja'ranah, 'Arafah, Tan'im dan Madinah. Beliau menceritakan bahawa sering bersama gurunya iaitu al-'Allamah Syeikh Ismail Usman Zain untuk berziarah ke rumah al-'Allamah Syeikh Hasan Muhammad Abbas al-Masyath pada setiap petang Khamis. Mereka bersolat Maghrib bersama ulama tersohor ini dan tidak akan pulang melainkan setelah mendapat doa dan nasihat dari al-'Allamah Syeikh Hasan Muhammad Abbas al-Masyath. Melalui Syeikh inilah beliau mendapat nasihat dan wasiat untuk sentiasa mengamalkan Selawat Masyisiah.

2. Al-Faqih ad-Darakah al-'Allamah al-Jalil Syeikh Ismail Usman Zain al-Yamani al-Makki رحمه الله (wafat pada 20 Zulhijjah 1414 Hijrah). Syeikh yang banyak mendidik dan mencorak kehidupan Syeikh Muhammad Nuruddin. Antara kitab yang dibacakan ulama' besar ini ialah Umdah as-Salik. Beliau juga meriwayatkan kitab Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan Nasai, Sunan Ibn Majah dan lain-lain.

3. Al-'Allamah al-Jalil al-Faqih al-Fahhamah Syaikh 'Abdullah bin Said bin Muhammad Ubadi al-Lahji رحمه الله
(wafat di Hospital an-Nur, Mekah pada Sabtu 1410 Hijrah). Melalui ulama' besar yang berasal dari Yaman ini, Syeikh Muhammad Nuruddin belajar kitab Tafsir Ibn Katsir, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, al-Minhaj, Bulughul Maram, Matan Abu Syuja', al-Idhoh, al-Qawaid al-Asasiyah dan lain-lain. Sudah menjadi kebiasaan Syeikh 'Abdullah Said al-Lahji, selepas selesai pengajian akan bergaul dan beramah mesra dengan anak-anak muridnya. Beliau akan menceritakan kepada mereka kisah-kisah lucu dan hikayat-hikayat lama, yang mana ianya memberi kesan besar kepada jiwa anak-anak muridnya dan mereka yang mengasihi beliau.

4. Syeikhul Hadis wa Musnidud Dunya al-'Allamah Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani رحمه الله (wafat 28 Dhulqaedah 1410H). Syeikh Muhammad Nuruddin mengambil daripada beliau secara riwayat, ijazah dan wijadah daripada kebanyakan karangan, tsabat dan musalsal beliau.

5. Al-'Allamah al-Jalil Syeikh Sayyid 'Attas
رحمه الله

6. Al-Faqih al-Musyarik Syeikh al-'Allamah Muhammad 'Iwadh al-Yamani رحمه الله (beliau wafat ketika sedang sujud di dalam solat). Melalui ulama' besar ini, Syeikh Muhammad Nuruddin mempelajari kitab Tarikh al-Adab al-'Arabi, Sahih al-Bukhari, Umdah al-Ahkam, Muwatto Imam Malik, Misykat dan lain-lain.

7. Syeikh Zakaria Bila al-Indonesia رحمه الله (wafat 1411H). Syeikh Muhammad Nuruddin mempelajari kitab Rawa'iq al-Bayan di dalam mentafsirkan ayat-ayat hukum, Fathul Mujib fi Syarh Manasik al-Khatib, al-Halal wal Haram oleh al-Qaradhawi, dan lain-lain.

8. Syeikh Muhammad Syibli al-Banjari رحمه الله. Syeikh Muhammad Nuruddin mempelajari Matan al-Ajrumiyah, Matan Bina', Kailani, Mutammimah, Syarh Mukhtasar Jiddan dan Syarh at-Tahrir.

9. Syeikh Karim al-Banjari رحمه الله. Kitab yang dipelajari daripada ulama besar ini adalah Riyadhus Salihin, Penawar Bagi Hati dan sebahagian dari kitab al-Jauhar al-Maknun (ilmu balaghah).

10. Syeikh 'Abdul Karim al-Bukhari رحمه الله. Kitab Sunan at-Tirmizi sewaktu di Madrasah Shaulatiyah.

11. Syeikh 'Adnan al-Afnani al-Indonesia
رحمه الله. Daripada ulama ini, Syeikh Muhammad Nuruddin mempelajari kitab Jam'ul Jawami' (ilmu usul), asy-Syamail al-Muhammadiyah, Mabadi Ilmu Falak, Syarh as-Syansuri pada Matan Rahbiyah dan lain-lain.

12. Syeikh Saifurrahman رحمه الله. Tenaga pengajar di Madrasah Syaulatiyah. Syeikh Muhammad Nuruddin mempelajari daripadanya kitab Sunan Nasaie dan Tuhfatus Saniyah (nahwu).

13. Syeikh Sahili al-Anfanani رحمه الله. Salah seorang tenaga pengajar di Madrasah Syaulatiyah. Syeikh Muhammad Nuruddin mempelajari daripadanya kitab Khulashah al-Kalam (ilmu faraid), ilmu hisab, ilmu handasah dan lain-lain.

14. Syeikh Said al-Bakistani رحمه الله. Syeikh
Muhammad Nuruddin mempelajari daripadanya ilmu mantiq dan sorof.


Antara ulama' yang beliau mengambil manfaat daripada muhadarah, nasihat, taujihad, nadwah, pengajian dan karangan mereka ialah :

1. Al-'Alim al-'Allamah al-Faqih al-Jalil Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf. Mantan Mufti Mesir.

2. Al-'Allamah al-Muhaddis al-Kabir Syeikh Muhammad Zakaria al-Kandahlawi
رحمه الله

3. Syeikh al-Jalil al-'Arifbillah al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad as-Saggaf حفظه الله

4. Syeikh Muhammad Muntashir al-Kattani al-Maghribi رحمه الله. Beliau tinggal di antara Mekah dan Madinah. Kemudian pada tahun 1409 Hijrah, beliau kembali ke Maghribi dan wafat di Rabat Maghribi pada 8 Safar 1419 Hijrah.

5. Al-'Allamah al-Muhaddis al-Habib Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Hasani al-Maliki
رحمه الله

6. Al-'Allamah Syeikh Muhammad Makki al-Hind رحمه الله

7. Syeikh Muhammad Makhluf رحمه الله


8. Al-'Allamah Syeikh Abdullah bin Hamid رحمه الله


9. Al-'Allamah al-Kabir ad-Da'iyah ilal Islami Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawi رحمه الله


10. Al-Imam al-Akbar Syeikh Ali Jadul Haq
رحمه الله

11. Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim رحمه الله

12. Al-Ustaz Dr. Syeikh Muhammad Tayyib an-Najjar
رحمه الله

13. Syeikh al-Jalil ar-Rabbani Muhammad Abdul Wahid
رحمه الله

14. Al-'Allamah al-Kabir Syeikh Abul Hasan Ali an-Nadwi رحمه الله

15. Al-'Allamah Syeikh al-Faqih 'Atiyyah Saqr رحمه الله

16. Al-'Allamah asy-Syaikh Hussin
رحمه الله

17. Syeikh Abdul Hafiz al-Hind رحمه الله


18. Al-Ustaz Dr. Ahmad Umar Hasyim
حفظه الله

19. Al-Ustaz Dr. Abdussobur Syahin

20. Al-Ustaz Dr. Abdul Fattah asy-Syeikh

21. Al-Ustaz Dr. Nashr Farid


22. Al-'Arifbillah Syeikh Yusuf Mahyuddin al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi حفظه الله

23. Al-Habib Salim bin Abdullah bin Umar asy-Syatiri حفظه الله.
Mendapat ijazah kitab al-Yaqutun Nafis

24. Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله. Membaca sebahagian daripada Iqtibasul Anwar Minal Ihya' dan Kibrit Ahmar oleh al-Habib Abdullah bin Abu Bakar al-Aidarus (Aidarus al-Akbar).

25. Al-'Allamah Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah رحمه الله

26. Al-'Allamah Tuan Guru Haji Hasyim
حفظه الله

27. Al-'Arifbillah Pak Su Mid Bukit Tembaga حفظه الله

28. Tuan Guru Baba Hussin Dala رحمه الله



Kitab-kitab yang dibaca bersama para guru beliau terlalu banyak. Antara yang beliau ingat ialah :

ILMU FIQIH : Mukhtasar Safinahtun Naja, Matan Ghayah wat Taqrib, Umdatus Salik wa Uddatun Nasik, Minhajut Talibin, Syatah Tahrir, Syarah Mahalli 'ala Minhaj, Syarah ibn Qasim, Tuhfatul Muhtaj, al-Majmu', Nihayatul Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Asna al-Mutalib, Fathul Wahhab dan lain-lain.

BAB MANASIK : Matan al-Idhah dan Fathul Mujib fi Syarh Manasik al-Khatib.

BAB FARAID : Khulasatul Kalam, Matan ar-Rahbiyah (serta syarahnya), dan Syarh asy-Syanshuri.

TAFSIR DAN ULUM TAFSIR : Tafsir Jalain, Tafsir ibn Katsir, Rawa'iul Bayan, Manzumah al-Zamzami (serta syarahnya), Ulumul Qur'an oleh Syeikh Ismail Usman Zain dan al-Itqan.

AQIDAH : al-Jaridah (serta syarahnya), Fathul Majid oleh Syaikh Nawawi Banten, 'Aqidatul Islam oleh al-Haddad, Qawaid al-'Aqaid oleh Imam al-Ghazali, dan lain-lain.

HADIS : Matan al-Arbain an-Nawawiyah, Bulughul Maram, 'Umdatul Ahkam, Riyadus Salihin, al-Azkar an-Nawawiyah, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasaie, Sunan Ibn Majah, Misykatul Masabih, Muwatto Imam Malik, Mukhtasar Ibn Abi Jamrah, asy-Syamail al-Muhammadiyah oleh at-Tirmizi, Kasyful Ghummah, al-Awail as-Sunbuliyah, Musalsalat al-Fadani, dan lain-lain.

MUSTOLAH HADIS : Matan al-Baiquniyah (dan syarahnya at-Taqriratus Saniyah) oleh Syeikh Hasan Masyath, Raf’ul Astar syarah Tholi’atul Anwar, Tadrib ar-Rawi oleh Imam as-Sayuthi, sebahagian dari Muqaddimah Ibn Solah, dan lain-lain.

TASAWUF DAN SULUK : Bidayatul Hidayah, Minhajul Abidin, Ihya Ulumiddin, Mau'izatul Mu'minin, Hikam Ibn Athoillah, Iqadhul Himam, Risalah Mu'awanah, Nashoih ad-Diniyah wal Wasaya al-Imaniyah, Risalah Qusyairiyah, al-Hadiqatul Aniqah, Tanwirul Qulub dan sebahagian daripada Lawaqihul Anwar.

USUL FIQH DAN QAWAID FIQH : Idhah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, al-Madkhal ila 'Ilm al-Usul, Syarah al-Waraqat, Asyhbah wan Nazair dan Syarah Jam'i al-Jawami'.

NAHWU DAN SOROF : Matan al-Ajurumiah, Syarah Mukhtasar Jiddin, at-Tuhfatus Saniyah, Mutammimah, Qatrun Nada, Syarah Ibn 'Aqil, Syarah Asymuni, al-Qawaid al-Asasiyah, Is'afut Tullab syarah Nazam Qaqaid al-I'rab, Matan Bina, Kalilani dan Matan Maqsud.

BALAGHAH DAN MANTIQ : al-Balaghah al-Wadhihah, sebahagian daripada al-Jauharul Maknun, Matan Isaghuji dan lain-lain.



Sumber : http://al-fanshuri-kenaliulama.blogspot.com.



MATAHARI PETUNJUK

No comments:

Related Posts with Thumbnails