Tuesday, March 31, 2009

CATATAN SEBUAH PERJUANGAN & PERJALANAN KINI BERMULA



Assalamualaikum wrt. wbt.


Alhamdulillah, tanggal
31 Mac 2009 bersamaan 4 Rabiul Akhir 1430 Hijrah maka lahirlah blog pertama saya. Ini merupakan kali pertama saya menghasilkan blog setelah menyimpan hasrat kira-kira 2 tahun yang lalu. Selepas melihat banyak kemunculan blog sama ada daripada rakan, sahabat handai, organisasi pertubuhan, individu, penulis bebas, tokoh dan parti politik, maka saya mengambil semangat, inspirasi, ilmu dan pengalaman daripada semua untuk menghasilkan blog ini.

Lebih-lebih lagi apabila
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat melancarkan blognya sendiri pada 26 Mac 2009 yang lalu iaitu http://blogtokguru.com.

Blog ini merupakan
satu simbol bermulanya sebuah perjuangan. Kata-kata hikmah iaitu 'hidup ini satu perjuangan' menjadi inspirasi. Memang benar hidup ini adalah satu perjuangan. Perjuangan untuk meneruskan kehidupan, perjuangan mencipta kejayaan dalam hidup, perjuangan untuk menjadikan impian menjadi realiti, perjuangan memburu kecemerlangan, dan perjuangan menempatkan diri di tempat yang mulia di sisi masyarakat.

Namun perjuangan yang hakiki ialah
perjuangan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah di dunia ini, serta perjuangan untuk mendapat syurga Allah di akhirat kelak. Inilah perjuangan tertinggi dan menjadi matlamat utama dalam apa jua setiap perbuatan kita termasuklah menghasilkan blog ini.

Blog ini juga merupakan
satu tanda bermulanya sebuah perjalanan yang panjang. Perjalanan yang penuh dengan pelbagai liku, ranjau, onak, duri, cabaran, ujian, penderitaan, penghinaan, kesusahan dan keperitan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup. Ia merupakan sebuah catatan perjalanan kehidupan sebenarnya, untuk di kongsi bersama dengan mereka yang mengenali diri ini.

Blog ini juga akan mencatatkan dari semasa ke semasa apa jua
maklumat terkini yang berkaitan dengan majlis ilmu dan program tidak kira siapa yang menganjurkannya, kerana sudah menjadi minat saya kepada majlis ilmu, pameran dan program yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Tujuan akhir saya menghasilkan blog ini ialah untuk menunaikan hasrat
menjadi seorang penulis yang berwibawa, yang mempunyai karisma, berilmu tinggi dan mempunyai nilai serta harga dalam penulisan. Maka bakat itu perlu diasuh daripada sekarang secara berperingkat-peringkat, bermula daripada kosong. Untuk tujuan itu, terhasillah blog ini kerana saya bebas untuk menulis dan mengulas apa jua perkara yang saya fikir dapat memberi manfaat kepada semua. Mungkin juga saya akan menjadi kolumnis, penulis tamu atau wartawan di akhbar yang saya minati seperti Harakah atau Siasah suatu hari nanti demi memenuhi cita-cita, menimba ilmu penulisan, menambah pengalaman kewartawanan, dan mengasah bakat dalam bidang penulisan.

Akhir sekali saya berharap semoga dengan usaha kecil tetapi amat penting ini akan dapat menunaikan segala hasrat, impian dan cita-cita yang saya impikan selama ini. Apa yang lebih penting ialah
semoga ia dapat membantu perjuangan memartabatkan agama Allah di atas muka bumi, seterusnya mendapat rahmat serta keredhaan daripada Allah.

Segala komen, nasihat, cadangan, kritikan daripada anda amatlah saya alu-alukan dan hargai. InsyaAllah,
bersama kita memburu dan mencipta kejayaan serta kecemerlangan di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.


Sekian.


MATAHARI PETUNJUK

Selasa, 31 Mac 2009 / 4 Rabiul Akhir 1430 Hijrah
Selangor, Malaysia

4 comments:

amirmukhtar said...

selamat berblog, mudah2an dpt apa yg ko cita2kan...

MATAHARI PETUNJUK said...

Terima kasih Amir. Terima kasih juga sebab ziarah blog ni.

iskandar zulkarnain said...

Teruskan perjuangan. Istiqamah sokmo

MATAHARI PETUNJUK said...

Terima kasih akhi. InsyaAllah bersama kita teruskan perjuangan dengan ikatan ukhuwwah. Semoga kita diberikan kekuatan untuk istiqamah & ikhlas dalam perjuangan.

Related Posts with Thumbnails